ingatlah teman dunia ini hanya sementara yang menjadi tiket untuk kita ke syurga ataupun neraka.....jadi berusahalah anda ke jalan yang benar...

Buat Renungan

syahdunya.....

Visitors

Answer and Question


ShoutMix chat widget
widgets

Pages

Popular Posts

Pendokong Aku

Sunday, November 21, 2010

cinta kepada dunia ibarat racun....cintailah kepada akhirat kerna ia ibarat penawar.

SAYANG kepada dunia melebihi segala-galanya. Itulah ‘al-Wahn’ iaitu penyakit memiliki nafsu besar terhadap kehidupan di dunia sehingga melupakan akhirat yang menjadi destinasi terakhir kita.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hidup di dunia, tidak lain hanya suatu kesenangan dan permainan. Sesungguhnya kampung akhiratlah kehidupan yang sebenarnya. Jika mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut ayat 64).
Kematian pula adalah satu perkara pasti. Semua orang akan menghadapinya pada bila-bila masa dan di mana saja. Jadi, bersedialah…
Lantas, apakah kita akan berdiam diri melihat umat yang semakin hari semakin jauh daripada tuntutan Allah dan Rasulnya? Itu menjadi petunjuk bagaimana generasi kini mengangkat kehidupan dunia sebagai syurga mereka.
Lalai menjalankan suruhan Allah, terlalu sibuk dengan urusan mencari kekayaan dan mementingkan diri sendiri, akhirnya menjadikan mereka hamba kepada dunia.
Ingatlah dunia hanya pinjaman bagi menguji keimanan bagi menentukan kita ke syurga atau neraka. Ada golongan yang hanya memikirkan kehidupan dunia dan mencari kekayaan tanpa mengenal halal haram.
Dalam kehidupan dunia ini, kita dihadapkan dengan pelbagai dugaan termasuk kenikmatan dunia berupa harta kekayaan, pangkat, darjat, anak serta wanita.
Allah berfirman: “Dihiaskan manusia, mencintai syahwat (keinginan nafsu) seperti wanita-wanita, anak-anak dan harta benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang baik, binatang-binatang ternak dan tanaman. Demikianlah kesukaan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (syurga). -(Surah Ali-Imran ayat 14).
Justeru, kita perlu sentiasa memohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk membezakan antara yang hak dan batil, yang makruf dan yang mungkar.
Mengenai penyakit cinta kepada dunia, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Jika kita tidak mempunyai matlamat, malas berusaha memperbaiki diri, gemarkan keseronokan, mencari harta dunia untuk dibolot seorang diri, hasad dengki, malas menimba ilmu, rendah akhlak serta gila merebut kuasa adalah tanda seseorang itu hamba kepada dunia.
Menjadi keutamaan umat Islam sekarang membina semula kekuatan yang bertunjangkan keimanan dan akidah. Tiada nilainya jika kita semua berbangga memiliki jumlah umat yang ramai tetapi ramai yang tidak berkualiti dan bernilai.
Usaha pembinaan peribadi Muslim berkualiti penting untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di tempat yang tinggi.
Dalam hadis, Rasulullah menjelaskan pada suatu masa nanti, semakin ramai manusia yang hatinya terpaut kepada dunia. Hadis itu bermaksud: “Akan datang kepada umatku suatu zaman, di mana mereka lebih cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat; cinta kepada harta dan lupa kepada hari hisab (perhitungan); cinta kepada makhluk dan lupa kepada penciptanya, cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat, cinta kepada mahligai dan lupa kepada makam (kuburan).”
Dunia yang didiami manusia ini akhirnya nanti pasti lenyap dan binasa manakala yang terus kekal abadi adalah kehidupan di akhirat.
Allah memberikan kepada hamba-Nya pelbagai bentuk nikmat dan kesenangan. Mereka yang dianugerahkan kemewahan perlu menghayati dan mensyukuri nikmat itu untuk dimanfaatkannya ke jalan kebaikan bagi mendekatkan diri kepada Allah.
Muslim sejati perlu memiliki jiwa tidak terlalu mencintai dunia hingga gagal mempersiapkan bekalan secukupnya untuk ‘menemui’ kehidupan akhirat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bercita-citakan kehidupan akhirat, maka Tuhan menjadikan kekayaan dalam hatinya, dihimpunkan segala kepentingannya dan diberikan kepadanya kenikmatan hidup ini seberapa perlunya. Sesiapa bercita-citakan kehidupan dunia, Allah menjadikan kemiskinan antara dua matanya, dipisahkan daripadanya apa yang menjadi keperluannya dan tidak diberikan kepadanya kenikmatan hidup dunia kecuali apa yang sudah ditentukan.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Dalam pemilikan harta contohnya, Islam tidak menghalang umatnya mencari harta sebanyak-banyaknya tetapi caranya mesti halal, bukan seperti Qarun dan Firaun yang sanggup menyekutukan Allah.
Harta adalah amanah daripada Allah. Ia perantara atau alat kepada kita bagi mendekatkan diri kepada Allah dan mewujudkan perhubungan antara manusia.
Sebenarnya harta kekayaan adalah anugerah dan hak mutlak Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah dengan kemampuan dan hak yang terbatas.
Walaupun manusia bekerja keras, tetapi jika Allah tidak izinkan, manusia tidak akan mencapai kejayaan. Harta yang melimpah ruah turut ‘tersimpan’ hak orang lain.
Jadi seseorang wajib menyucikan hartanya melalui pembayaran zakat, nafkah bagi tujuan pembangunan Islam serta disedekahkan kepada mereka yang hidup dalam kesusahan.
Tanda jelas mereka yang cintakan dunia adalah gemar melakukan dosa. Memang manusia tidak terlepas daripada dosa tetapi yang sebaiknya adalah bertaubat.
Amat dikesali jika ada yang melakukan dosa dan kesalahan dengan sengaja. Dosa manusia ada dua iaitu dilakukan secara sedar dan disebabkan kejahilan.
Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa taubat yang sebenarnya (taubat nasuha) adalah meninggalkan (berbuat) dosa dengan niat tidak akan mengulangi lagi berbuat demikian pada masa akan datang.
Apa yang pasti, mati akan menjemput kita pada bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada dalam benteng tinggi lagi kukuh.” (Surah An-Nisa’, ayat 78).
Tidak salah menjadi hartawan bahkan memang dituntut Islam bagi meningkatkan ekonomi ummah, namun jangan menyemai sikap terlalu cintakan dunia.
Contohnya, ada golongan yang terlalu sayangkan harta sehingga tidak berani untuk bersedekah dan infak. Apabila difikirkan perihal kematian, mereka takut kerana ia akan memisahkan kekayaan yang dimilikinya.
Perunding motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh berkata, sayang dunia (al-wahn) membayangkan golongan yang melihat dunia ini adalah segala-galanya.
“Orang yang rugi adalah mereka yang terlalu sayangkan dunia. Tidak salah ada perasaan sayang kepada dunia, namun kecintaan itu tidak boleh mengalahkan rasa cinta kepada Allah dan hari akhirat.
“Rasulullah berkata, dunia adalah kehidupan untuk mencari bekalan akhirat. Hasilnya akan dituai di akhirat nanti,” katanya.
Mohd Zawawi berkata, perbezaan manusia bergantung kepada amalan yang mereka lakukan.
“Ada yang dapat kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Kemudian, ada yang tidak dapat kedua-duanya sekali manakala ada golongan yang dapat dunia tetapi tidak dapat akhirat dan ada yang tidak dapat dunia, namun mendapat ganjaran di akhirat kelak.
“Manusia tidak tahu bila tarikh kematian sebenar kerana nama kita tidak ‘dipanggil’ mengikut turutan abjad.
“Lebih bermakna apabila kita dapat seimbangkan antara dunia dan akhirat di mana kita sayangkan dunia dalam keadaan takut mati,” katanya.
Katanya, kematian bukannya noktah kepada kehidupan tetapi ia persinggahan sebelum ‘berpindah’ ke alam lain.
“Ulama berkata, apabila meninggal dunia roh akan keluar daripada tubuh manusia kemudian masuk ke kubur menuju alam lain dan ke padang mahsyar.
“Roh tidak akan mati dan ia hidup selamanya,” katanya.
Beliau berkata, orang Islam perlu mematuhi dan mentaati pelbagai larangan berbanding orang kafir yang melihat dunia sebagai syurga.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Fatimah Syarha Noordin berkata, balasan terhadap kematian adalah pelengkap kehidupan.
“Kita perlu memikirkan kematian kerana ia pasti datang. Orang yang beramal mahu kematian mereka dalam amalan soleh.
“Golongan tergopoh-gapah untuk mati ibarat membunuh diri. Apabila ingatkan mati, ia memberikan kita kekuatan untuk menjadi orang yang lebih berjaya dan berkualiti,” katanya.
Fatimah Syarha berkata, tanda golongan orang mulia adalah mereka yang hebat akhlak dan peribadinya serta sanggup berkorban apa saja demi agamanya.
“Rasulullah bersabda: “Bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh tubuhnya tetapi sekiranya rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh tubuh, daging tersebut ialah hati”.
“Di Palestin contohnya, umat Islam di sana sanggup bergadai nyawa dan harta benda bagi mempertahankan maruah agama. Meskipun mereka menerima ujian yang sangat dahsyat, namun mereka reda dengan keadaan itu,” katanya.
Fatimah Syarha berkata, setiap individu perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi saat kematian mereka dengan melakukan amalan baik dan terpuji.
“Biarlah kita merasai derita di dunia dulu sebelum mendapat nikmat kejayaan paling besar di akhirat. Kekayaan sebenar adalah kekayaan memperbaiki tahap dan tingkatan iman kita,” katanya.
“Apa yang kita lakukan sekarang adalah rangka untuk menuju akhirat. Konsep kematian yang sebenar ialah roh seperti burung di dalam sangkar yang tidak sabar untuk keluar menemui pencipta-Nya,” katanya.
MAKSIAT…gemar berseronok melakukan maksiat antara tanda seseorang menjadi hamba kepada dunia. -Gambar hiasan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Like

Text Widget

Text Widget